Thursday, October 19, 2017

Roda Alam


Di balik kelam awan hitam semalam
Hadir embun dalam dingin pagi syahdu
Titis-titisnya membawa pergi duka
Lalu
Dedaun dan bunga kembali segar
Meniti hari baru
Sang suria turut tersenyum menyinar 
Menambah ceria

Ya, begitulah...
Seputar kisah Alam
Mirip rentak hidup sang khalifah
Andai semalam kau bersedih
Rebah dipukul ombak ujian
Jangan kau ratap dan terus terdampar
Bangun dan terus berjalan
Walau dalam kalut 
Kau tetap punya doa untuk berpaut
Dan bumi untuk terus bersujud

Menangislah!
Biar teriakmu hanya Dia yang tahu
Mengadulah,
Biar bebanmu hanya Dia yang pikul
Meratiblah,
Hanya pada Dia yang Satu

Begitulah...
Tangisan di keheningan pagi
Umpama embun dingin
Titisnya membawa pergi duka
Dan hatimu kembali tenang 
Saat kau balut dengan mujahadah diam
Dan kau rawat dengan tahajjud malam
Mentari pasti bersinar meraikan kemenangan
Sungguh
Dalam tiap peristiwa ada rahsia
Hikmah mahupun musibah
Tetaplah berpegang dengan janji Allah
Bahawa 
Pada setiap kesulitan ada kemudahan
Pada setiap kesulitan ada kemudahan


Jazakallahu khoyr zauji habibi dan anak-anak...  💋💘💞💝💑












Bisik Pada Langit

Nada berjalan, mencari si irama
Menyatu di dalam siulan, dipaksi
Muka ke alam, pandanglah ke diri
Betapa kerdilnya manusia, di bumi

Langit limpah hujan, sembuhkan luka
Angin tiup awan, terangkan dunia

Bulan bicara, kaburkan penglihatan
Meraba-raba dan mencari, si dia
Matahari, terbitlah di timur
Menyuluh ke segenap gelap, di hati

Inginku terbang ke angkasa

Langit limpah hujan, sembuhkan luka
Angin tiup awan, terangkan dunia

Inginku terbang ke angkasa

Langit limpah hujan, sembuhkan luka
Angin tiup awan, terangkan dunia

Langit limpah hujan, sembuhkan luka
Angin tiup awan, terangkan dunia



Sunday, August 6, 2017

Waktu Ini

Assalamualaikum wbt dan Salam Lewat Malam,

ALhamdulillah, terealisasikan juga hasrat umi untuk mengemaskini blog yang semakin bersawang ni. Ya Allah, rindu sangat nak bebel kat sini :)

Saat semua sedang enak dibuai mimpi, umi gagahkan untuk kemaskini catatan di sini.

Oklah, kita warm up je dulu hari ni. Insya ALlah, dalam perancangan akan ada penambah baikan blog ini pada masa terdekat. Dah dirangka perancangan kasarnya. Mudah-mudahan terlaksana ya. Doakan!

Nak tahu kisahnya? 28 Julai lalu... Allah dah janji kan, andai kita buat baik dengan orang seikhlasnya.. pasti Allah pandang dan dibalas kebaikan..
Apa kisah buat baik nya tu? Biarlah rahsia antara umi dan Allah swt.. Tak layak rasanya diri ini untuk bercerita di sini, kita hanya hamba yang berusaha untuk terus mengikut perintahNya.

Cerita balasan baik itu, umi abadikan di sini.. kisahnya begini..

Seawal pagi 28 Julai 2017 - Jumaat yang barokah, usai selesai menyediakan sarapan dan kemas tempat tidur, umi pun bukalah FB, eh, pagi-pagi dah banyak notification? Penuh pula orang tag nama umi... konfius kejap. Bila umi buka..........................................

Alhamdulillah..rezeki di Jumaat yang Barokah. Masuk kali ni, rasanya dah kali ke5 umi menang giveaway melalui FB. Gara-gara pengaruh rakan tak sebaya lah ni, #gengbahu yang selalu tag umi asalnya. Niat nak menyantuni sahabat-sahabat, jadi rezeki buat kita. Alhamdulillah. Masih belum redeem lagi Dinner Table for 2 ni. Tengah mencari masa dan waktu yang sesuai. Bila umi khabarkan pada ayah... "Alhamdulillah...isteri abg memang selalu bertuah, dari zaman bank dulu asyik menang cabutan bertuah! Nanti kita cari masa ya sayang.." Tengah-tengah berkira-kira juga kalau dapat di realisasikan sempena cuti sekolah nanti.. menarik juga kan... InsyaALlah, moga ALlah izinkan. Ada sahabat #gengbahu umi terus meraikan hadiah dengan memujuk umi, "Kak, ingat kisah akak kongsikan dengan kitorang tentang raya.. sungguh, berkat kesabaran Allah bagi balasan buat akak dan suami. Ku pula yang terharu.." ada yang lain, "Nurul kalau nak gi dinner tu, hantarlah anak pada akak..boleh je jagakan.." Allah, terharu dengan sahabat-sahabat yang cukup memahami. Moga Allah jaga dan pelihara ukhwah ini dan kurniakan kebaikan dunia akhirat buat sahabat-sahabat manis umi ini.

Pada 29hb pula umi diberi peluang untuk mengikuti Beauty Class. Alhamdulillah, lama dah teringin nak join. Bukanlah beria nak bermake-up sangat, cukup sekadar boleh bersolek nipis untuk tatapan ayah..heeee.. Terima kasih ayah, izinkan dan sudi jagakan anak-anak sepeninggalan umi. Balik tu, masing-masing kata umi nampak comel lah..nampak muda lah..ada-ada je anak-anak ni. Gambar solek tu, biarlah umi simpan untuk tatapan peribadi sahaja. Pernah suatu ketika... umi ambil gambar selfie kemudian terus send pada ayah. Ketika tu, umi sebelah ayah je dalam kereta. Ayah tanya, "kenapa send kat abg?" "Habis, nak send kat sapa?" tanya umi. "Ingat nak letak profile picture" kata ayah lagi. "Ish, insyaAllah..ayg kalau boleh taknak lah letak gambar selfie yang clear sangat muka ayg..mestilah tak nak letak gambar yang comot kan..kita nak letak yg cantik. Muka wanita ni bukan aurat, tp ayg takut jadi fitnah..kawan-kawan contact ada juga lelaki, dibuatnya dia tengok full pastu terdetik sesuatu..ayg takut. Sebab tu ayg selesa kalau gambar ayg dengan abg, dengan anak-anak atau kalau gambar sorang, pandang lain ke.. atau sisi tepi saja." Sebaik ayat umi habis, ayah usap kepala umi, "sejuk abg dengar..terima kasih sayang.." Begitulah, kita buat semmapu kita untuk menghindari. Bukanlah nak tunjuk kita baik tp sebab kita tahu kita bukanlah baik sangat kita usaha untuk menjaga diri kita. Mudah-mudahan Allah bantu. 

Petang 29hb ayah upah anak-anak... Terima kasih ayah! Biar dekat sahaja tempatnya dan seketika sahaja masanya.. Yang pasti anak-anak happy! Setelah sekian lama tak berendam kan... 

InsyaAllah, boleh jadi rutin bulanan lepas ni kata ayah >.<


Setakat ini dulu coretan umi. InsyaAllah umi akan sambung lagi dalam masa terdekat nanti. Moga diberi kelapangan. 







Monday, July 17, 2017

Hidup ini antara Mati dan Sabar

Hidup ini tempat ujian.
Hidup ini penuh pilihan.
Hidup ini antara mati dan sabar.
Tak kira apapun kesalahan kita pada orang lain satu masa dahulu, mohonlah maaf dengan sifat kerendahan hati mengakui kesilapan kita seorang manusia yg lemah. Dan kita belajar daripadanya.
Tak kira apapun kesalahan orang lain kepada kita, maafkanlah dengan rasa penuh redha di atas apa yg telah berlaku itu kerana kita semua bukan insan sempurna. Pasti ada lebih kurangnya di mana mana.
Tidak kisahlah siapa yg memulakannya dulu. Siapa yg harus meminta maaf dulu. Inilah yg saya pelajari daripada Emak.
Memaafkan sesuatu yg indah buat masa hadapan walaupun ianya amat menyakitkan buat masa sekarang.
Nah, pilihlah antara mati atau sabar.
Kesabaran, amat mudah disebut namun amat payah dilakukan. Sabar itu tidak bermasa, tidak pula bertempoh. Sabar itu sebenarnya ilmu ikhlas. Di manakah kesabaran (baca : keikhlasan) kita yg sebenar jika kita mengiranya mengikut tahun, masa dan waktu?
Ikhlas datang daripada redha. Hati yg redha ke atas apa yg telah berlaku walaupun ianya sesuatu yg amat menyakitkan atau kesedihan yg paling dalam sekalipun pasti akan tenang.
Hidup ini hanyalah mengenai pencarian sebuah ketenangan.
Nah, pilihlah antara mati atau sabar.
Kerana akhirnya, sebelum orang yg menyakitkan kita itu pergi dijemput Ilahi buat selama lamanya, dia memerlukan ketenangan begitu juga diri kita sendiri yg lebih mendambakan ketenangan untuk meneruskan kehidupan dan bagi menghadapi saat kematian yg sama di masa akan datang kelak.
Hanya hati yg tenang sahaja yg akan dipanggil masuk dengan selamat dan sejahtera ke dalam syurga Allah yg Maha Menenangkan.
Semuanya bermula dengan satu kemaafan dan memaafi. Pasti akan bertemu kemanisannya dari sisi lain yg boleh kita kecapi.
Redhalah menelan segala kepahitan dan ketentuan yg sudah tertulis di dalam hidup ini. Pasti Allah akan meredhaimu kembali.
Apa yg sudah berlaku, biarlah berlaku. Jauh lebih penting apakah pengakhiran hidup ini.
Nah, pilihlah antara mati atau sabar.
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ, ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً. فَادْخُلِي فِي عِبَادِي. وَادْخُلِي جَنَّتِي
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas (meredhai) lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku. (al-Fajr: 27-30)

Catatan berharga dari sahabat syurga : Khadijah Gani

Tuesday, June 13, 2017

Madrasah Ramadhan

Assalamualaikum wbt & Salam Ramadhan ke 18

Subhanallah...pantas sungguh masa berlalu. Dah masuk Ramadhan dan dah hampir ke penghujungnya juga.

Maaf kerana lama Umi tak kemaskini penulisan di sini. Idea tu sering ada, tapi nak luangkan masa untuk menaip tu, sungguh bercinta! Apalah yang buat sampai Umi sukar sekali menulis kan?
Umi perlu revamp semula rutin supaya aktiviti yang Umi dah mulakan tidaklah terbiar. At least 2 minggu sekali ke ada penulisan baru di sini kan?

Bersempena Ramadhan ini, Alhamdulillah..Alhamdulillah... pada Umi ada beberapa perkara prositif yang telah Umi rancangkan dan dapat terlaksana. Sebelum bermula Ramadhan, umi dah siapkan jadual rutin seperti kebiasaan. Kebetulan juga, Ramadhan kali ini jatuh dalam Cuti Sekolah, maka pelbagai aktiviti Umi dah susunkan. Kalau tengok kat jadual tu banyak juga pangkah nya.. Minggu pertama di KL, agak sukar juga Umi nak 'tune' kan rutin coz banyak juga cabaran/godaan. Its ok my kids, ada juga progress. Minggu kedua, kita dah balik JB, Umi dapatlah lebih agresif dalam memantau jadual. Oh ya, semalam adalah hari pertama kita iftar di rumah! Sebelum ini, Umi akan masak dan sediakan sedikit juadah dan kita bawa ke masjid. Ya, sepanjang balik dari JB tempoh hari kita iftar di masjid. Alhamdulillah...banyak hikmahnya. Kita dapat bertukar-tukar juadah dengan jiran dulang sebelah..heee, jimatkan masa untuk mengemas dan menyediakan juadah iftar. Yang paling best, kita dapat bertadarus sementara menanti waktu berbuka! Alhamdulillah...
Sempena Ramadhan kali ini, Umi dapatlah rasmikan telekung pemberian Tok dan khimar hadiah dari ayah sempena hari ulangtahun kelahiran umi pada March lalu... Sungguh, bertambah manis rasanya. Terima kasih Ya Allah. 
Dan satu perkara lagi yang sangat-sangat manis ialah apabila Umi juga dapat join kelas Al-Quran Online di bawah bimbingan Pn Cahaya. Subhanallah...Tabarakallah! Nikmat mana lagi yang Umi boleh dustakan.. Sungguh inilah antara usaha Umi untuk meningkatkan ilmu mendalami Al-Quran, memahami bahasa Arab yang indah dengan mudah. Asalnya, Umi dah pernah bertanyakan tentang kelas ini pada bulan Mac yang lalu.. namun atas kekangan kewangan, Umi tangguhkan. Baru ini, sahabat manis Umi, Aunty Dila maklumkan dia dah daftar untuk kelas ini. Oh, cemburu sungguh Umi! Kebetulan juga, ada sedikit wang keuntungan Lasagna sebelumnya, maka Umi gunakan wang tersebut untuk daftar kelas secepat mungkin. hahaha... Terima kasih sabahat kerana sering mengingatkan tentang kebaikan. Jangan lupa cari aku ya jika kau dah tiba di Syurga nanti. Cari aku dan tanyakanlah tentang aku. Bersaksilah atas apa yang telah kita lalui bersama... Allahu Akbar... sebak pula. Mati itu pasti kan. Moga kita diberikan kerinduan untuk keSana... dan Khusnul Khotimah. 



Sayu rasanya, Ramadhan semakin ke penghujungnya.. Begitulah juga sisa usia kita.. Moga apa yang kita lakukan, mendapat redha Allah swt dan di rezekikan untuk bertemu Al-Qadr tahun ni. Berbaki beberapa hari sahaja lagi, marilah kita sama-sama tingkatkan amalan sebagai bekal. 




Tuesday, April 25, 2017

HANYA AKU

Aku tahu aku hina
Tapi jangan pernah siksa
Aku tahu aku lemah
Tapi jangan hujani tohmah
Aku tahu aku buntu
Tapi jangan buat seteru
Aku tahu aku lurus
Tapi jangan mudah rakus

Walau siapa aku
Tetap namanya manusia
Yang ingin hak yang sama
Punya hati dan rasa
Biar bersilih tangis dan duka
Ingin gembira dan bahagia

Walau siapa kamu
Tetap bernama hamba
Bertuhankan Allah Yang Esa
Menumpang atas dunia
Meminjam nikmatNya
Kelak pulang tinggal segala

Maka nikmat Allah mana lagi yang kamu dustakan?

~Ummu Nur~



Hasil cetusan idea sempena Bengkel Penulisan Kreatif | 25 April 2017 | 3.20pm | Masjid Sultan Ismail, UTM JB

Popular Posts